KOTA KINABALU: Status kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan diumumkan esok.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya akan mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan tentang status kerusi yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.
Pengumuman itu dilakukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Peter perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini atas kesalahan memalsukan dokumen, 11 tahun lalu.
Pada 26 Mei 2022, Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000. Peter telah membayar denda tersebut.
Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur memenangi kerusi DUN Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 di atas tiket Parti Warisan (Warisan).
Setahun kemudian, beliau mengumumkan keluar daripada Warisan pada 28 Disember 2021 sebelum menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Februari 2022.
Kini, parti KDM mempunyai dua kerusi DUN iaitu DUN Melalap yang disandang olehnya dan DUN Bandau yang disandang oleh Datuk Wetrom Bahanda selaku Timbalan Presiden KDM. – UTUSAN