EDOTCO Malaysia, Kejuruteraan Rasshin pacu transformasi digital

Perniagaan

PETALING JAYA: EDOTCO Malaysia dan Kejuruteraan Rasshin Sdn. Bhd. memeterai perjanjian strategik semasa Mobile World Congress (MWC) 2025 dalam mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi generasi baharu di Sarawak. 

Ia sejajar dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 untuk merapatkan jurang digital serta meningkatkan keterhubungan bagi komuniti bandar dan luar bandar.  

Pengarah Perniagaan Malaysia EDOTCO, Gayan Koralage berkata, kerjasama itu adalah langkah penting dalam memastikan setiap komuniti di Sarawak, tanpa mengira lokasi, mendapat akses kepada sambungan internet yang pantas dan boleh dipercayai. 

“Sebagai rakan infrastruktur digital negara, EDOTCO mampu menyediakan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan unik landskap Sarawak. 

“Dengan berganding bahu, kita membantu pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memperluaskan jangkauan mereka dengan lebih pantas dan cekap di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai rakan infrastruktur digital nasional Malaysia, EDOTCO membawa penyelesaian inovatif yang berasaskan data dan direka khusus untuk mengatasi cabaran geografi, kepadatan penduduk yang pelbagai serta kawasan sukar diakses di Sarawak. 

Bekerjasama dengan KRSB, EDOTCO akan menyediakan penyelesaian infrastruktur dan keterhubungan yang disesuaikan, termasuk teknologi satelit orbit rendah serta akses tanpa wayar tetap di kawasan yang memerlukan, memastikan pengembangan rangkaian yang lancar di seluruh negeri. 

Sementara itu, Pengarah Urusan KRSB, Mohammed Ariffin Adenan berkata, berkerjasama dengan EDOTCO sejajar dengan misi mereka untuk memperkasa infrastruktur Sarawak melalui penyelesaian inovatif dan mampan. 

“Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan keterhubungan tetapi juga memperkasakan komuniti dan perniagaan tempatan dengan mengintegrasikan mereka ke dalam ekosistem digital negeri yang berkembang pesat,” ujarnya. 

Dalam jangka panjang, kerjasama itu akan menyokong aplikasi digital baharu, penyelesaian keterhubungan perusahaan serta infrastruktur pintar bersepadu, mewujudkan ekosistem telekomunikasi yang berdaya tahan dan menyokong transformasi digital Sarawak. 

Kerjasama itu melengkapkan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) dan pelaburan negeri dalam menara SMART, memperkukuh kerjasama awam-swasta dalam merangsang pertumbuhan ekonomi serta keterangkuman sosial. 

Inisiatif ini juga selari dengan pelaburan kerajaan Sarawak sebanyak RM2.25 bilion dalam infrastruktur telekomunikasi, mencerminkan komitmen kukuh terhadap transformasi digital negeri.-UTUSAN