TAPAH: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai keserasian bekerjasama bagi memenangkan calon masing-masing dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, PRK Mahkota telah membuktikan PH turut sama turun padang bagi meraih undi penyokong mereka dan memenangkan calon BN dengan majoriti yang besar.
“Berdasarkan pattern (corak) pengundi (PRU-15 DUN Ayer Kuning) lebih 9,000 pengundi mengundi BN dan lebih 6,000 mengundi PH, jadi lebih 15,000 undi.
“Kita sepakat kerjasama mengulangi di Mahkota (PRK DUN Ayer Kuning). BN kerja keras tarik pengundi dan PH buat yang sama bagi kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pimpinan BN dan PH di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dan Naib Pengerusi DAP Perak, A. Sivanesan
.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi menewaskan empat calon lain masing-masing dari Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.
Allahyarham Ishsam Shahruddin dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim (AMANAH) mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal (Pas) (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi).
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.
Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menentukan tarikh PRK DUN Ayer Kuning. – UTUSAN