PETALING JAYA: Chemlite Innovation Berhad, penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan menyasarkan untuk mengumpul RM30 juta melalui terbitan 120 juta saham baharu menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Hasil daripada IPO akan diperuntukkan secara strategik untuk pengembangan perniagaan dengan tumpuan utama kepada meluaskan keupayaan operasi, termasuk pembinaan kemudahan operasi tambahan, persediaan bilik bersih, pelaburan dalam jentera dan peralatan canggih dan menubuhkan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berdedikasi.
Selain itu, syarikat mahu memperkukuh modal kerja untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan keperluan operasi.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chong Yuen Fong berkata, pelancaran prospektus itu menandakan babak penting dalam perjalanan Chemlite Innovation.
“IPO ini menandakan komitmen kami untuk mengembangkan keupayaan syarikat dan terus memacu inovasi dalam penyelesaian rawatan kemasan permukaan.
“Dengan hasil itu, kami membawa pelan strategik kami lebih dekat kepada realisasi dengan pengembangan perkhidmatan anodisasi kami dan mengukuhkan kehadiran kami dalam segmen penyaduran logam melalui pembinaan kemudahan tambahan.
“Kemudahan baharu ini, dengan peningkatan kapasiti akan membolehkan kami menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dan seterusnya mengukuhkan diri kami sebagai rakan kongsi yang mantap dan dipercayai dalam penyelesaian rawatan kemasan permukaan, terutamanya dalam industri semikonduktor dan elektrik dan elektronik,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasinya, Heng Chee Khiang berkata, penyenaraian itu berfungsi sebagai platform penting bagi Chemlite Innovation untuk mencipta nilai yang lebih besar untuk pelanggan dan pihak berkepentingan.
“Kami yakin hasil yang dikumpul akan membolehkan kami melaksanakan objektif strategik kami dan memenuhi permintaan yang berkembang dari pangkalan pelanggan global kami dengan keupayaan dan inovasi kami yang dipertingkatkan,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, David Lim pula berkata, kepakaran Chemlite Innovation dalam perkhidmatan rawatan kemasan permukaan, ditambah dengan reputasinya yang mantap, keupayaan teknikal dan pelan pertumbuhan, menjadikannya prospek yang menarik bagi pelabur.
“IPO ini akan menyediakan syarikat dengan sumber untuk meningkatkan kemudahannya dan mengembangkan penawaran perkhidmatannya, memastikan ia kekal sebagai peneraju dalam industrinya,” ujarnya. – UTUSAN