PH akan bantu BN-UMNO tawan DUN Ayer Kuning

Politik

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) bagi memenangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mendapat arahan daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan persiapan dan gerak kerja.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH memahami bahawa Ayer Kuning itu adalah kerusi penyandang BN melalui wakil dari UMNO.

“Setakat ini, kita akan memainkan peranan sebagai pendukung memandangkan ia kerusi penyandang UMNO.

“Pagi tadi, saya telah menerima arahan langsung daripada Datuk Seri Anwar, untuk memulakan persiapan dan mengatur gerak kerja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Katanya, PH Negeri Perak telah mengadakan pertemuan dan beliau menerima laporan awal mengenai persiapan pilihan raya kecil itu.

Saifuddin berkata, PH telah pun mengaktifkan jentera di peringkat pusat dan negeri sebelum menentukan keperluan logistik dan agihan tugas.

“Matlamat akhirnya adalah mempertahankan kemenangan kerusi itu buat BN kerana mereka adalah sekutu dalam Kerajaan Perpaduan di Perak.

“Jadi jelas, tak ada lagi teka-teki apakah kita berminat dengan kerusi itu,” katanya.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai satu kejohanan bola speak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Susulan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas urusan PRK DUN Ayer Kuning pada Jumaat ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau belum memutuskan untuk bertanding dalam mana-mana jawatan dalam Pemilihan PKR yang dijadual berlangsung Mei depan.

“Belum lagi, tak sempat. Sekarang saya tumpu solat terawih dulu. Masih terlalu awal,” katanya. – UTUSAN