Iskandar Investment raih anugerah Cabaran Rendah Karbon

Perniagaan

PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) meraih pengiktirafan 5-Berlian bagi pembangunan Daerah Pusat Perniagaan Karbon Sifar Bersih (NZCC) menerusi pelan induk Medini Innopolis, di Iskandar Puteri, Johor di anugerah Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C).

Selain anugerah terbabit, IIB turut menerima dua lagi pengiktirafan berlian iaitu 5-Berlian untuk Menara IIB (Medini 9) dan 2-Belian untuk Kompleks 1 EduCity.

Anugerah berprestij yang dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu disampaikan oleh Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, di tengah-tengah arus urbanisasi yang kian pesat, adalah menjadi tanggungjawab IIB untuk menerapkan prinsip rendah karbon demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar,serta pengurusan sumber semula jadi yang lebih cekap.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi bukti nyata kesungguhan kami dalam merealisasikan sebuah metropolis inklusif dan mampan di Medini, Iskandar Puteri, Johor,” katanya dalam kenyataan.

Dilancarkan pada tahun 2019, LCC2030C merupakan sebuah inisiatif nasional yang bertujuan mempercepatkan transformasi Malaysia ke arah pembangunan bandar rendah karbon.

Sebagai pemaju induk yang menerajui transformasi Medini, IIB terus menjadi perintis kelestarian dalam perancangan bandar dan pertumbuhan ekonomi.

Menerusi Medini Innopolis, IIB mengorak langkah menjadikan Medini sebagai bandar masa depan yang berdaya saing, menggabungkan inovasi canggih, kelestarian alam serta kemakmuran ekonomi.

“Visi besar ini digerakkan oleh tiga inisiatif utama iaitu Medini International Convention City (MICC), hab perniagaan dan konvensyen global bagi menarik pelabur serta merangsang aktiviti ekonomi dan Tech Medini, ekosistem digital yang menyokong industri berasaskan teknologi.

“Turut menjadi penggerak adalah inisiatif Bandar Karbon Sifar Bersih, komitmen jangka panjang IIB terhadap bandar hijau, yang mengintegrasikan teknologi rendah karbon dan infrastruktur pintar,” ujarnya. – UTUSAN