Fandi ‘pening’ prestasi Sri Pahang merudum

Sukan

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad gusar dengan prestasi anak buahnya selepas tumpas buat kali keenam berturut-turut dalam saingan Liga Super.

Kelmarin, skuad Tok Gajah yang juga finalis Piala Malaysia tahun ini tumpas 0-2 kepada Kuching City FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dalam aksi tertunda Liga Super.

“Dalam perlawanan Piala Malaysia, motivasi pemain tinggi, ada kemahuan untuk menang dengan disiplin tinggi dan sering berbicara sesama sendiri di padang.

“Tetapi, hari ini mereka kurang untuk bantu membantu apabila hilang bola,” katanya Fandi selepas perlawanan berakhir, kelmarin.

Sri Pahang tewas 0-2 melalui jaringan Zarul Izwan Zulkifli sementara satu gol lagi melalui
pemain import, Yuki Tanigawa pada aksi sebelum perlawanan di tunda akibat hujan lebat.

Selain itu, Fandi mengakui ketiadaan penyerang, Kpah Sherman menyebabkan tiada pemain lain yang boleh diharapkan untuk mengetuai jentera serangan bagi meledak gol.

Katanya, David Rowley dilihat kurang mendapat sokongan dari belakang dan tiada hantaran tepat ke arah petak penalti lawan untuk tindakan susulan menjaringkan gol.

Bagaimanapun, Fandi berharap pemain akan kembali memberi fokus bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama dalam aksi final Piala Malaysia pada April depan.

Bagi jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, beliau nyata gembira dengan persembahan anak buahnya walaupun menyedari lawan mereka bukan mudah untuk diatasi.

“Sri Pahang sudah pasti akan berusaha keras untuk mengejar jaringan di separuh masa pertama dan kredit untuk pemain mampu bertahan,

“Separuh masa kedua Kuching City mula memberi tekanan kepada Sri Pahang dan akhirnya kita berjaya mendapatkan gol kedua,” katanya.-UTUSAN