Skuad masa depan lebih penting dari Piala Europa- Amorim

Sukan

MANCHESTER: Ruben Amorim percaya membentuk pasukan untuk masa depan adalah lebih penting buat Manchester United sekarang, berbanding memenangi Liga Europa.

United kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir daripada saingan Piala FA, menjadikan Liga Europa satu-satunya harapan mereka untuk menjulang trofi musim ini dan kelayakan beraksi di pentas Eropah musim depan.

Kekalahan di tangan Fulham pada pusingan kelima Piala FA membuatkan Liga Europa bertambah penting buat anak buah Amorim yang kini berdepan Real Sociedad di pusingan 16 terakhir awal pagi esok.

“Memang kami tewas minggu lalu, jadi tumpuan kini terarah kepada Liga Europa untuk satu-satunya kejohanan yang kami boleh menang. Juga, kaitan memenangi Liga Europa dengan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Tetapi bagi saya, ada perkara lebih penting untuk difikirkan.

“Saya tahu ia pelik untuk diperkatakan tetapi ia adalah apa yang kami cuba bina di sini, itu lebih penting daripada memenangi piala ketika ini.

“Saya tahu tanggungjawab kami untuk berjuang bagi setiap trofi, tetapi ketika ini kami sedang membina sesuatu yang akan bertahan lebih lama daripada trofi musim ini,” kata Amorim.

Erik Ten Hag memenangi trofi dalam kedua-dua musim penuhnya di Old Trafford, termasuk kemenangan pada final Piala FA ke atas Manchester City yang memadamkan kekecewaaan kempen buruk mereka dan sebelum itu United memenangi Piala Liga pada tahun 2023.

Sasaran utama United ialah memenangi EPL pada ulang tahun ke-150 kelab pada tahun 2028, yang diutarakan Amorim selepas tewas kepada Fulham dan mendapat kritikan daripada Wayne Rooney.

Pengendali dari Portugal itu terus membalas kritikan legenda United berkenaan dan menegaskan, kelab mempunyai perancangan besar yang memaksa mereka memecat 200 lagi kakitangan.

“Saya faham apa yang orang perkatakan kerana jika anda lihat cara pasukan kami bermain dan keputusannya, sukar untuk membayangkan kejayaan buat kelab ketika ini,” katanya. – AGENSI