PETALING JAYA: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim secara terbuka menyatakan hasratnya untuk mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pemilihan penggal 2025/2029 badan induk itu pada 15 Jun ini.
Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs) berkata beliau sedia menerima cabaran daripada mana-mana individu yang berminat untuk bertanding bagi merebut kerusi No. 1 KOM itu.
“Bagi saya kalau ada (calon) yang terbaik, saya akan sokong, bukan orang lain tetapi saya (sendiri) akan sokong sebab saya sudah terlibat begitu lama dalam sukan dan saya tidak mahu sukan ini terencat dan sebagainya.
“Mesyuarat KOM akan diadakan tidak lama lagi dan kami akan memberikan sokongan kepada mereka yang layak. Ini bukan soal orang berebut, kalau dia layak kita kena sokong, jangan tak sokong.
“Saya sendiri kalau ada mana-mana pihak yang ingin bertanding, kalau saya tengok dia layak saya akan isytihar akan menyokong (calon terbabit). Saya tak mahu sesuatu (jawatan) ini dipegang untuk mencari populariti dan kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli majlis KOM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
AGM KOM bagi penggal 2025/2029 bakal menyaksikan satu kerusi untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan manakala empat kekosongan bagi naib presiden dengan tarikh akhir borang pencalonan perlu dihantar 21 hari sebelum berlangsungnya pemilihan.
Menurut Shahidan, fokusnya kini adalah memastikan persiapan atlet negara bagi menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini.
“Sukan SEA ini adalah mini Olimpik di peringkat Asia Tenggara. Kita kena berusaha bersungguh-sungguh supaya kita mendapat lebih banyak pingat seperti yang menteri (Hannah Yeoh) sebutkan,” katanya. – UTUSAN