SLM, AI Agen dijangka pacu perkembangan inovasi AI

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Model Bahasa Kecil (SLM) dan AI Agen (Agentic AI) dijangka menjadi pemacu utama perkembangan inovasi Kecerdasan Buatan (AI), menurut IBM Malaysia.

Pengurus Besar Negara dan Ketua Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo berkata, SLM menawarkan AI yang lebih cekap dan kos efektif bagi perusahaan, manakala AI Agen membolehkan sistem beroperasi secara lebih autonomi.

“Ia membantu membuat keputusan kompleks serta melaksanakan tugas dengan sedikit atau tanpa campur tangan manusia.

“Organisasi tidak memerlukan satu model AI yang besar dan serba tahu, tetapi AI yang terbuka, bersasar dan cekap,” katanya pada pembentangan ‘AI ROI: Membuka Nilai dan Menskalakan Impak’ di sini, semalam.

Beliau turut memperkenalkan IBM Granite, model AI kecil dengan lapan bilion dan dua bilion parameter yang dioptimumkan bagi kecekapan dan prestasi.

“Model ini diintegrasikan dalam platform IBM watsonx, membolehkan perniagaan melaksanakan AI pada skala besar dengan lebih ketelusan serta kolaborasi dalam komuniti AI.

“Dengan peningkatan pelaburan dalam AI sumber terbuka dan inovasi seperti AI Agen, syarikat dijangka mempercepat transformasi digital untuk bersaing dalam pasaran global yang semakin kompleks,” katanya.

Mengulas lanjut, Dickson berkata, syarikat di seluruh dunia semakin beralih kepada AI sumber terbuka bagi memaksimumkan pulangan pelaburan (ROI) dan memacu inovasi, berdasarkan laporan terbaharu IBM.

“Kajian IBM bersama Morning Consult dan Lopez Research mendapati 89 peratus organisasi merancang untuk meningkatkan atau mengekalkan pelaburan AI menjelang 2025.

“Daripada jumlah itu, 62 peratus akan meningkatkan peruntukan, dengan hampir dua perlima (39 peratus) merancang kenaikan antara 25 hingga 50 peratus.

“Syarikat kini memberi tumpuan kepada pelaburan strategik dalam AI, terutamanya dalam operasi teknologi maklumat (63 peratus), pengurusan kualiti data (46 peratus) serta inovasi produk dan perkhidmatan (41 peratus),” ujarnya.

Tambahnya, kajian itu juga menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan AI sumber terbuka, dengan 51 peratus syarikat yang menggunakannya mencapai ROI positif berbanding hanya 41 peratus dalam kalangan organisasi yang tidak menggunakan pendekatan tersebut.

Antara strategi utama yang dirancang syarikat menjelang 2025, termasuk penggunaan perkhidmatan awan terurus (51 peratus), pengambilan bakat khusus dalam AI (48 peratus) serta penggunaan sumber terbuka (48 peratus). – UTUSAN