KUALA LUMPUR: Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa Malaysia (PROMAS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat Zajas Sdn. Bhd. (Zajas) sebagai langkah memperkenalkan standard pematuhan pensijilan halal negara ini.
MoU itu dimeterai dengan Zajas sebagai rakan strategik Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melancarkan usaha perolehan pensijilan halal kepada syarikat pengeluar produk makanan, minuman, pakaian, kosmetik dan lain-lain di China.
Presiden PROMAS, Datuk Chong Chong Tik berkata, Promas akan tampil agresif sebagai peneraju industri perdagangan halal Malaysia – China dan komited menjadikan negara itu sebagai rakan dagangan halal terbesar di ASEAN dan dunia.
Menurutnya, PROMAS mengundang puluhan pelabur dari China untuk mendapatkan info lengkap berkaitan pensijilan halal Malaysia dalam satu sesi taklimat yang disampaikan oleh Jakim di Putrajaya.
“Matlamat utama adalah untuk memperkenalkan standard pematuhan pensijilan halal Malaysia di China dan meluaskan pasaran produk halal Malaysia- China ke seluruh dunia. Ia merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk menyokong dan mengembangkan potensi industri halal global.
“PROMAS komited terhadap seruan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membantu usahawan China dalam memahami dan mendapatkan pensijilan halal,” katanya pada Majlis menandatangani MoU antara PROMAS dengan Zajas, semalam.
Dalam sesi tersebut, PROMAS diwakili Chong Tik, manakala Zajas pula diwakili pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Jaafar dan disaksikan oleh Presiden Kehormat Sepanjang Hayat; Puan Sri Susan Cheah dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia- China, Loo Kok Seong.
Turut bersama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Kanan Jabatan Kewangan Pusat Perdagangan Luar China, Chen Yun; Ahli Parlimen Cheras,Tan Kok Wai, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Muhyidin Aziz Saari, Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Mohamad Zamri Mohamed Shapik.
Majlis itu turut dihadiri lebih 120 pemain industri halal dari China dan beberapa pengusaha tempatan.
Chong Tik memberitahu, tanggungjawab yang diberikan itu akan digunakan sebaiknya bagi memandu usahawan China untuk mendapatkan pensijilan halal Malaysia seliaan Jakim.
Usaha murni ini juga dapat membantu usahawan tempatan untuk menerokai pasaran halal antarabangsa. – UTUSAN