PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) komited untuk membantu pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta perusahaan mikro melalui pelbagai pelan bantuan yang disediakan bagi yang terjejas akibat insiden di Putra Heights.
CIMB berkata, CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) telah memudahkan proses permohonan, di mana pelanggan hanya perlu memberikan maklumat asas mereka untuk memohon pelan bantuan ini.
“Selain itu, caj lewat dan yuran bagi pelanggan yang terkesan akan dikecualikan.
“Pelanggan PKS yang terjejas oleh kebakaran dan memerlukan bantuan aliran tunai tambahan selain pelepasan pembayaran juga boleh memohon modal kerja tambahan untuk menyokong keperluan perniagaan mereka.
“Sebagai tambahan, CIMB turut mengecualikan caj bagi penggantian kad kredit atau debit, permintaan penyata atau penggantian buku simpanan dan cek jurubank yang rosak akibat kebakaran,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, CIMB juga akan bekerjasama rapat dengan rakan insuransnya bagi mempercepatkan proses tuntutan insurans berkaitan kebakaran di Putra Heights.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, CIMB komited terus berkhidmat kepada komuniti yang kumpukan beroperasi serta bersedia menyediakan bantuan serta pelepasan pembayaran sebagai penyokong utama dalam memajukan pelanggan dan masyarakat.
“Kami berharap usaha ini dapat meringankan beban kewangan tambahan yang ditanggung oleh pelanggan individu dan perniagaan akibat kebakaran ini, serta membantu mereka membina semula kehidupan dan sumber pendapatan mereka,” ujarnya.
Untuk memohon bantuan, pelanggan individu boleh menghubungi Pusat Perhubungan CIMB di +603 6204 7788. Pelanggan PKS yang terjejas dan memerlukan bantuan boleh melayari www.cimb.com.my/frap.
Pelanggan bukan PKS dan korporat juga boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk membincangkan pilihan bantuan yang tersedia.
Pelanggan yang terjejas juga boleh memohon bantuan di cawangan CIMB dan maklumat lanjut mengenai lokasi cawangan boleh diperiksa melalui laman ‘Locate Us’ di http://www.cimb.com.my. – UTUSAN