PETALING JAYA: Skuad Badminton negara perlu membuktikan sesuatu dalam penyertaan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 yang bermula esok hingga 13 April ini di Ningbo, China.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, biarpun terdapat beberapa isu yang sedang melanda pemain negara, itu bukan alasan untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.
Menurut Razif, BAC 2025 adalah peluang terbaik buat barisan pemain negara untuk menampilkan kebangkitan selepas beberapa prestasi kurang memberangsangkan.
Katanya, ia termasuk prestasi hambar dalam kejohanan All England 2025 dan Terbuka India baru-baru ini yang menampakkan sedikit kejatuhan sukan badminton negara.
“Setiap pemain harus menggunakan pentas BAC sebagai medan membuktikan kemampuan mereka kepada pihak pengurusan, peminat serta seluruh rakyat Malaysia.
“Tidak dinafikan, cabaran kali ini cukup getir. Laluan sukar menanti bukan sahaja buat perseorangan lelaki dan wanita, malah pasangan beregu lelaki, wanita serta beregu campuran turut berdepan ujian besar.
“Namun, inilah masanya untuk mereka membuktikan bahawa Malaysia masih memiliki keupayaan bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Keputusan undian menyaksikan beregu lelaki utama negara, Aaron chia-Soh Wooi Yik bakal berdepan tugas sukar apabila berdepan pasangan dari Jepun Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura
sementara Goh Sze Fei-Nur Izzudin bakal bertemu satu lagi pasangan dari Jepun iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pusingan pertama.
Dalam beberapa kejohanan terdahulu, prestasi pemain negara menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati sukan tempatan.
Justeru, Razif menegaskan bahawa kejayaan di BAC 2025 bukan sekadar untuk memperbaiki ranking pemain tetapi juga mengembalikan keyakinan terhadap program pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Kita tidak mahu melihat keputusan mengecewakan lagi. Semua pemain harus tampil dengan semangat juang tinggi dan tidak boleh mudah berputus asa. BAM juga perlu memastikan persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan ini agar kita tidak ketinggalan di belakang negara-negara lain,” tambahnya.- UTUSAN