SUBANG JAYA: Pasaran hartanah di kawasan kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights di sini, dijangka menghadapi tekanan dengan penurunan harga jualan dan kadar sewa dalam masa terdekat.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Prof. Khairudin Abd. Halim berkata, insiden yang berlaku menyebabkan ramai pembeli dan penyewa menangguhkan keputusan mereka dan memilih untuk berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat.
“Permintaan terhadap hartanah di kawasan berkenaan akan menurun, menyebabkan pemilik hartanah terpaksa menurunkan harga untuk menarik minat pembeli dan penyewa.
“Walaupun penurunan ini dijangka sementara, kesannya bergantung kepada pemulihan keyakinan awam.
“Jika ketidaktentuan berterusan, tekanan harga mungkin berterusan dan memberi kesan negatif terhadap nilai hartanah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Nilai kerugian akibat kerosakan dan kemusnahan hartanah susulan kejadian pada Selasa lalu dianggarkan melebihi RM100 juta.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Profesional Malaysia (PERTAMA), Prof Dr. Ismail Omar berkata, lokasi kebakaran dan letupan berpotensi untuk mengalami peningkatan nilai hartanah, sekiranya proses pemulihan ekonomi dilaksanakan dengan sempurna.
Ismail berkata, meskipun kawasan tersebut terjejas, pemulihan yang efisien dan terancang mampu mengembalikan keyakinan pelabur. – UTUSAN