Yazaki CEO baharu Honda Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA: Honda Malaysia Sdn. Bhd. melantik Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 April lalu.

Menurut kenyataan, Yazaki menggantikan Hironobu Yoshimura yang telah menerajui syarikat itu sejak tiga tahun lalu.

Yazaki mempunyai lebih 25 tahun pengalaman yang luas dengan Honda, telah memegang peranan kepimpinan utama di beberapa negara termasuk Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat.

Sebelum memegang jawatan sekarang dalam Honda Malaysia, Yazaki telah berkhidmat dengan Operasi Pentadbiran Korporat di Honda Motor Co., Ltd., Tokyo, Jepun.

Yazaki berkata, beliau berbesar hati untuk memikul tanggungjawab ini di Honda Malaysia, pasaran yang terkenal dengan pertumbuhan dinamik dan sumbangan pentingnya kepada jenama Honda di rantau Asia dan Oceania.

“Saya berhasrat untuk membina asas kukuh yang diletakkan oleh pendahulu saya dan terus memacu pertumbuhan dan kejayaan Honda Malaysia dalam pasaran yang berkembang pesat ini,” katanya.

Sementara itu, Yoshimura telah memikul peranan baharu di ibu pejabat Honda, Honda Motor Co., Ltd., Tokyo, berkuat kuasa 1 April 2025.

Yoshimura memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan utama Honda Malaysia dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama 11 tahun berturut-turut syarikat itu dan melalui persekitaran yang mencabar.

Honda Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Yoshimura atas dedikasi dan kepimpinan beliau, yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan berterusan syarikat. – UTUSAN