Xin Ying, Aira, Ameeshanraj ke separuh akhir Kejohanan Dunia

Sukan

PETALING JAYA: Pemain skuasy Malaysia, Yee Xin Ying mencipta kejutan ke atas pilihan kedua, Malak Khafagy dari Mesir untuk menempah slot ke separuh akhir pada Kejohanan Dunia Bawah 23 Tahun di Karachi, Pakistan, hari ini.

Xin Ying yang menghuni ranking ke-82 dunia tidak diletakkan harapan untuk melangkah sejauh peringkat empat terbaik, tetapi, pemain berusia 21 tahun itu membuktikan dia mampu berbuat demikian di Kelab DHA Creek.

Anak jati Sandakan, Sabah itu membenam cabaran Khafagy yang menghuni ranking No. 29 dunia menerusi kemenangan lima set 9-11, 11-8, 11-9, 7-11, 11-9 pada suku akhir.

Xin Ying akan berdepan Chan Sin Yuk pada separuh akhir selepas pemain Hong Kong itu menewaskan Akari Midorikawa dari Jepun 11-7, 11-3, 11-1 dalam satu lagi pertarungan peringkat lapan terbaik.

Selain Xin Ying, dua lagi pemain Malaysia turut mara ke separuh akhir iaitu Aira Azman yang diletakkan selaku pilihan 3/4 dan juga C. Ameeshanraj yang menjadi wakil tunggal dalam saingan lelaki.

Aira yang menghuni ranking ke-30 dunia diberi tentangan sengit sebelum menang ke atas pemain ke-91 dunia, Heylie Fung dari Hong Kong 11-9, 11-7, 12-10.

Pada separuh akhir, bekas naib juara remaja dunia itu bakal bertembung pencabar yang sebenar iaitu pilihan pertama, Fayrouz Aboelkheir dari Mesir.

Fayrouz yang menghuni ranking No. 14 dunia menyingkirkan Toby Tse dari Hong Kong 11-5, 11-5, 6-11, 11-7.

Ameeshanraj pula menewaskan juara remaja dunia 2023, Hamza Khan dari Pakistan 11-7, 11-9, 7-11, 11-6.

Anak muda berusia 21 tahun itu akan bertemu seorang lagi wakil tuan rumah, Noor Zaman yang mengalahkan Melvil Scianimanico dari Perancis 11-7, 11-9, 11-8. – UTUSAN