KUALA LUMPUR: Pasaran semikonduktor ASEAN dijangka melepasi AS$52 bilion (RM233.41 bilion) menjelang 2032 berbanding AS$31 bilion (RM139.15 bilion) pada 2023.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, untuk mencapai tahap tersebut, ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkat dalam rantaian nilai, memastikan rantau ini menjadi tempat lahir inovasi dan bukan sekadar pusat pemasangan bagi industri semikonduktor global.
Beliau berkata, industri penting itu tidak hanya bergantung kepada skala, tetapi juga kepada penciptaan nilai strategik.
“Itu bermaksud kita perlu naik ke dalam rantaian nilai yang melibatkan reka bentuk hadapan, fabrikasi dan pembangunan harta intelek supaya ASEAN bukan sekadar tempat inovasi dipasang, tetapi tempat inovasi bermula,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Perbincangan Panel: Negara yang Mencipta Melalui Pemangkinan Ekosistem di sini, semalam.
Beliau turut menekankan bahawa rantau ini mempunyai potensi besar untuk membentuk bab seterusnya dalam kisah global industri semikonduktor.
“Potensi ini disokong oleh keupayaan perindustrian yang kukuh, bilangan jurutera berkemahiran yang semakin meningkat, hab inovasi yang semakin canggih serta akses kepada pasaran pengguna dan perusahaan yang paling dinamik di dunia.
“Dengan penyelarasan yang betul, kita boleh mengubah ASEAN menjadi kuasa besar semikonduktor yang bersepadu, tangkas dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Amir Hamzah berkata, ASEAN perlu bertindak secara strategik terhadap cabaran penyesuaian semula rantaian bekalan global yang berpunca daripada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan dasar perdagangan yang bersifat proteksionis.
“Pengumuman terbaharu oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif balas terhadap negara-negara yang mempunyai lebihan dagangan, termasuk tarif 24 peratus terhadap eksport Malaysia, bukanlah satu perkembangan terpencil sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada peralihan yang lebih besar ke arah dasar yang lebih tertumpu ke dalam negara.
“Tindak balas terbaik ASEAN bukanlah untuk berundur ke arah proteksionisme, tetapi mara melalui integrasi.
“Kita mesti mempelbagaikan rantaian bekalan kita, memperjuangkan serantau terbuka melalui kerangka seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta menggunakan sepenuhnya alat seperti Tetingkap Tunggal ASEAN untuk mengurangkan geseran dan membina kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata, rantau ini telah melahirkan lebih daripada 10 syarikat unicorn dengan nilai melebihi AS$34 bilion (kira-kira RM152.6 bilion) sejak 2012, namun ekosistem syarikat permulaan masih menghadapi cabaran seperti akses pembiayaan yang tidak seimbang, pasaran yang terpecah dan sokongan pengembangan yang terhad.
“Jika semikonduktor adalah perkakasan ekonomi masa depan, maka syarikat permulaan adalah sistem pengoperasiannya yang menggerakkan ketangkasan, keupayaan menyesuaikan diri dan inovasi.
“Tetapi idea yang berani tidak akan berkembang dalam pengasingan. Untuk berkembang maju, syarikat permulaan memerlukan infrastruktur peluang peraturan yang jelas, pasaran terbuka, rangkaian yang dipercayai dan institusi yang berkembang bersama mereka, bukan di sekeliling mereka,” katanya. – UTUSAN