MARANG: Sebanyak 4.5 tan metrik tembikai diagihkan kepada tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Marang di Taman Desa Bayu, Pulau Kerengga di sini, hari ini.
Tembikai tersebut dibeli daripada petani yang mengusahakan tanaman berkenaan di sekitar Pulau Kerangga di sini.
Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, usaha yang diambil itu bertujuan membantu petani mengatasi masalah lambakan tembikai sehingga menjejaskan pendapatan petani tersebut.
Katanya, peniaga juga terpaksa menjual tembikai dengan harga murah berikutan lambakan buah tersebut di negeri ini sejak Ramadan lalu.
“Setiap tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Marang diberi ‘buah tangan’ sebiji tembikai untuk dibawa pulang,” katanya ketika ditemui pada majlis itu hari ini.
Media sebelum ini melaporkan petani yang mengusahakan tanaman tembikai mengalami kerugian apabila berlaku lambakan dan dijual murah sehingga 50 sen sekilogram. Malah terdapat petani yang terpaksa melelong tembikai dengan harga RM1 sebiji. – UTUSAN