Ahmad Samsuri dakwa telefonnya dipintas, pergerakan dipantau

Politik

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa dirinya dilabel di bawah Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.

Katanya, TCO yang merujuk kepada Travel Control Office/Order dalam sistem keselamatan adalah satu bentuk penilaian terhadap mana-mana individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu meskipun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah. 

Beliau mendakwa dirinya dilabel TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus. 

“Seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster atau persona non grata di tanah air sendiri.

Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini, Bukan sekadar label, tetapi saya ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi sebelum satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan.

“Perkara itu berlaku untuk setiap kali keluar masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden Pas itu mendakwa, label TCO tersebut membolehkan segala pergerakan, komunikasi dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap dan berterusan. 

“Ia dilaksanakan atas alasan untuk keselamatan negara atau untuk kestabilan politik tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan, sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu.

“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui dan apa yang saya bualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak ‘political master’ atau operator utamanya.

“Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik,” katanya.

Ahmad Samsuri turut mendakwa telefonnya dipintas dan pergerakannya sentiasa dipantau walaupun atas urusan peribadi.

“Selain saya, dimaklumkan bahawa ada seorang lagi tokoh utama pembangkang yang juga berdepan dengan label tier TCO ini. Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri,” katanya. – UTUSAN