KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) melihat tindakan pihak pembangkang yang menjadikan isu-isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sebagai bahan kempen setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung boleh diumpamakan seperti mahu membakar negara.
Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, sekiranya naratif itu terus dimainkan ia boleh memberikan kesan buruk kepada negara.
“Isu 3R bukan sahaja membakar diri malah negara boleh menerima kesan buruk. Jadi bagi saya isu itu sudah tidak releven untuk dijadikan sebagai modal kempen.
“Jika mahu kalau mahu melangkah ke hadapan isu 3R mesti ditinggalkan. Hal ini kerana isu 3R ini boleh diumpamakan seperti kalah jadi abu, menang jadi arang. Tiada manfaat untuk mana-mana pihak,” kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, di sini hari ini.
Adly memberitahu, parti gabungan Kerajaan Perpaduan bertekad memperjuangkan isu-isu setempat untuk diselesaikan bagi kemudahan penduduk pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Katannya, perkhidmatan terbaik merupakan agenda utama Kerajaan Perpaduan selari dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat ketika ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musa lalu.-UTUSAN