Pandelela gagal ke final Piala Dunia Terjun Akuatik 2025

Sukan

PETALING JAYA: Harapan penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong untuk melangkah ke final acara 10 meter (m) platform wanita di Piala Dunia Terjun Akuatik 2025 berkecai selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik.

Pada saingan yang berlangsung di Windsor, Kanada, semalam, Pandelela sekadar mengumpul 235.90 mata, meletakkannya di kedudukan ke-20 keseluruhan dan sekali gus menamatkan cabarannya di kejohanan berprestij itu lebih awal.

Kehebatan penerjun China, terus terserlah apabila mereka menguasai saingan dengan menduduki dua tempat teratas.

Quan Hongchan, yang merupakan juara Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, gah di tangga pertama dengan kutipan 404.15 mata.

Rakan senegaranya, Chen Yuxi pula mengekori rapat di tempat kedua dengan mengumpul 376.45 mata.

Chen sebelum ini bergandingan dengan Quan untuk merangkul emas dalam acara 10m platform seirama di Sukan Olimpik Paris 2024.