PETALING JAYA: Calon berlatar belakang pendidikan agama dijangka menjadi trend dan strategi bagi parti-parti politik yang bertanding termasuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof.Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, malah ia dilihat antara keperluan yang perlu ada bagi seseorang calon yang mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Bagaimanapun katanya, calon sedemikin bukan tiket dan jaminan bagi meraih sokongan pengundi terutama bagi golongan muda.
“Sebelum ini mungkin ada kelebihan. Pengundi sekarang mahu melihat siapa yang mampu bagi perkhidmatan terbaik sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Barisan Naisonal (BN) Dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah menamakan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April nanti.
Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April 2025.
Manakala Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon BN.
Dalam pada itu Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, calon PN tidak mampu memberi saingan sengit terhadap BN walaupun berimej agama
Menurutnya, strategi pembangkang meletakkan Abdul Muhaimin yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning juga mungkin tidak menaruh harapan bukan sahaja pengundi Cina dan India, sebaliknya pengundi Melayu. – UTUSAN