KUALA LUMPUR: Perlumbaan Cub Prix masih relevan untuk menjadi platform bagi melahirkan pelumba muda berbakat besar beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Bagaimanapun, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual, Ron Hogg berkata, Cup Prix bukanlah satu-satunya platform untuk pelumba tempatan kerana banyak lagi saluran lain yang boleh melonjakkan karier mereka.
“Platform untuk pelumba kita berkembang ke peringkat lebih tinggi banyak sebenarnya, salah satunya adalah melalui Cub Prix.
“Kita menyediakan kemudahan bagi membangunkan pelumba-pelumba berbakat ini, tetapi, apabila hendak ke peringkat seterusnya sokongan daripada kerajaan dan industri amat
penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kejuaraan Motosikal Cup Prix Petronas MAM 2025 di Litar Karting Antarabangsa LYL dekat sini, semalam.
Ron berkata, saban tahun, Cup Prix berjaya melahirkan sekurang-kurang 10 ke 20 pelumba berbakat dan mereka merupakan pelapis negara yang wajar digilap sebaik mungkin.
Katanya, jika dulu Kejuaraan Motosikal CEV Sepanyol pernah diangkat sebagai platform terbaik untuk pelumba ke MotoGP, tetapi, kini ia tidak berlaku lagi.
“Apa yang lebih penting ialah pelumba yang berada di dalam kancah MotoGP perlu memastikan diri mereka terus kekal konsisten di dalam perlumbaan itu,” katanya.
Mengulas mengenai perlumbaan malam yang mungkin diperkenalkan ke dalam kalendar bagi musim 2025, Ron berkata, untuk berbuat demikian ia bukan satu keputusan mudah.
“Kami memang ada memikirkan mengenai cadangan itu, tetapi, untuk musim ini saya tidak berasakan kita sempat untuk melaksanakannya kerana banyak faktor perlu diambil kira termasuk soal keselamatan pelumba,” katanya.
Kata Ron, jika semuanya berjalan lancar, tidak mustahil cadangan tersebut boleh direalisasikan ke dalam kalendar perlumbaan musim depan dengan Litar Karting Antarabangsa LYL antara trek yang boleh dipertimbangkan.
Musim Kejuaraan Motosikal Cup Prix Petronas MAM 2025 akan membuka tirai perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang Petronas (bahagian Utara) pada hujung minggu depan dengan kemasukan percuma buat peminat sukan bermotor.-UITUSAN