MELAKA: Model Kerajaan Perpaduan yang terbukti dapat mentadbir negara seharusnya menjadi pertimbangan pengundi untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, ia berjaya menggabungkan parti-parti politik utama dan menyelesaikan banyak masalah rakyat sepanjang tempoh tiga tahun memerintah.
Beliau berkata, rakyat perlu melihat usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa kerajaan negeri yang dapat mengupayakan sistem ekonomi negara.
“Dari awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan banyak isu-isu yang terlibat dengan pertanian dan keterjaminan makanan, tetapi kita lihat usaha menterinya berjaya mengatasinya.
“Sewaktu sambutan Aidilfitri, tidak ada isu yang terkait dengan keterjaminan makanan dan isu barang keperluan, walaupun sebelum sambutan itu timbul soalan bekalan tidak mencukupi termasuk masalah santan.
“Namun semua masalah itu berjaya diatasi menerusi formula yang digunakan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Memang saya fikir kalau kita hari ini bersungguh-sungguh menjayakan Kerajaan Perpaduan, kita harap pengundi dapat menyokong calon BN demi masa depan di Perak dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Datuk Demang Hussin di sini, semalam yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Terdahulu, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir diumumkan sebagai calon BN dalam usaha mempertahankan kubu kuat parti itu yang dimenangi sejak 1986.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia ketika bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 25 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April manakala hari penamaan calon Sabtu ini dan pengundian awal pada 22 April. – UTUSAN