Sumali mahu bantu MOM majukan sukan tanah air

Sukan

PETALING JAYA: Membantu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memajukan sukan tanah air menjadi agenda utama Datuk Mohd. Sumali Reduan sekiranya berjaya merebut kerusi Naib Presiden badan induk itu.

Perebutan kerusi Naib Presiden pada pemilihan Ahli Lembaga Eksekutif (Exco) MOM bagi penggal 2025-2029 semakin menarik selepas pengumuman calon diumumkan untuk mengisi lima kekosongan.

Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengakui sokongan padu daripada PSM telah memberi ilham kepadanya untuk bertanding dalam badan induk sukan negara bagi penggal kali ini.

“Setelah pengesahan tiga penyandang sebelum ini tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden barulah tergerak hati saya untuk menawarkan diri bertanding Naib Presiden selain sokongan dari keluarga PSM sendiri.

“Tujuan dan misinya tetap sama bagi membantu MOM dalam usaha memajukan pentas Sukan ditanahair,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Sumali menjadi watak penting di sebalik kebangkitan sukan sepak takraw negara selepas melalui fasa yang turun naik sebelum ini.

Dibawah kepimpinannya, sukan sepak takraw malaysia kembali di landasan sebenar dengan Stadium Titiwangsa jadi saksi skuad negara meraih kejuaraan berganda di saingan Piala Dunia 2024 apabila mengungguli acara double dan regu.

Selain kejayaan penganjuran Piala Dunia yang berjaya terbaru PSM juga bakal jadi tumpuan untuk himpunan pasukan sepak takraw terbaik asia dalam kejohanan piala asia yang berlangsung Mei ini.

Selain itu PSM juga telah berjaya mendapatkan Stadium Jalan Raja Muda untuk dijadikan sebagai Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Transformasi sukan sepak takraw yang ditampilkan Sumali cukup luar biasa sekaligus Presiden PSM dilihat sebagai calon popular untuk mengisi jawatan naib presiden MOM pada pemilihan kali ini.

Terdahulu, media melaporkan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatan sebagai Presiden MOM bagi penggal 2025-2029 selepas disahkan menjadi calon tunggal pada pemilihan nanti.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, pertandingan satu lawan satu dijangka sengit apabila penyandang Naib Presiden MOM merangkap Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dicabar Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Setiausaha Agung baharu juga akan dilantik selepas penyandang, Datuk Mohd Nazifuddin Najib memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut dan calon tunggal bagi jawatan itu ialah Datuk Mohd Nasir Ali yang kini memegang jawatan Penolong Bendahari.-UTUSAN