TAPAH: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS, 40, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mendakwa kawasan itu mundur walaupun telah diperintah oleh Barisan Nasional (BN) sejak lebih 40 tahun lalu.
Kata Timbalan Setiausaha Agung PSM itu, tiada pembangunan yang signifikan termasuk infrastruktur awam yang lengkap untuk kemudahan rakyat Ayer Kuning.
“Ayer Kuning agak ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan awam berbanding Chenderiang sejak lebih 40 tahun.
“Sebagai kuasa ketiga, janji-janji parti kerajaan dan pembangkang (PN) sekadar ‘gula-gula’ semasa pilihan raya semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon PRK itu di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Katanya, rakyat (pengundi) perlu menzahirkan dalam undi mereka kebosanan, keletihan dan kemarahan dengan situasi politik serta ekonomi sekarang.
Bawani menambah, PSM bersama rakan strategik politik iaitu PRM dan MUDA akan menghampiri setiap pengundi di Ayer Kuning tanpa mengira yang berusia atau golongan muda.
PRK DUN Ayer Kuning melibatkan pertandingan tiga penjuru iaitu Abd. Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) diwakili Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, sementara Bawani sendiri mewakili PSM. – UTUSAN