Ketua Bersatu Bahagian Sekijang, Uzzair Ismail, menggesa kerajaan negeri dan pihak berwajib di seluruh negara agar menjaga tanah milik rakyat dengan amanah dan bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa tanah rezab milik kerajaan bukan sekadar aset, tetapi simbol maruah, warisan dan perjuangan bangsa.
Menurutnya, sejak dahulu lagi tanah adalah simbol kemerdekaan, tempat di mana nenek moyang kita menanam rezeki, membina kehidupan serta memelihara warisan.
Dalam setiap inci tanah adanya pengorbanan beserta keringat dan air mata yang menjadi tunjang sebuah perjuangan panjang
Namun katanya banyak tanah kerajaan diteroka secara haram atau tergadai kerana wujudnya pengurusan yang lemah.
Beliau mengambil iktibar dari isu pencerobohan kuil di Kuala Lumpur dan penerokaan kebun durian haram di Raub Pahang, di mana menjadi polemik yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Dua situasi yang berbeza, tapi mesejnya satu apabila amanah tidak diurus dengan telus, adil dan berhemah, rakyat akan terhimpit, maruah akan tercalar,” katanya ketika dihubungi.
Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan isu pencerobohan tanah di Raub baru-baru jni, beliau menegaskan apa yang dititahkan tuanku seharusnya menjadi iktibar dan renungan buat semua pihak terlibat dalam memastikan isu ini tidak berulang kembali di masa hadapan.
Antara cadangannya ialah mengenal pasti dan melindungi tanah ibadat dan kampung tradisi, memantau tanah kerajaan agar tidak diceroboh, dan menyelesaikan isu tanah tradisi secara berhemah tanpa pengusiran mengejut.
“Tanah adalah maruah. Jangan gadaikan. Ini amanah rakyat yang akan dipersoal, bukan saja di dunia, tapi juga di akhirat,”
“Saya turut memperingatkan kepada pihak berkepentingan agar sentiasa menjaga amanah ini. Jangan ulangi kesilapan kerana rakyat sering memerhati,” katanya
Isu pencerobohan tanah yang melibatkan pembinaan kuil di tanah milik Jakel di Kuala Lumpur dan pekebun durian musang king di Raub Pahang sebelum ini menjadi perhatian masyarakat selepas berlakunya suasana tegang dan rasa ketidakpuasan hati antara pihak terlibat dan kerajaan.