Tunjuk bukti jika calon PN tipu tauliah-Takiyuddin

Politik

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menuntut pihak yang mendakwa calon mereka pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Abdul Muhaimin Malek menipu dalam urusan permohonan tauliah mengajar agama Islam di Perak supaya mengemukakan bukti.

Ketua Whipnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, PN menyerahkan sepenuhnya kepada Abd. Muhaimin untuk memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Selama ini calon kita itu (Abdul Muhaimin) sudah menjadi guru agama yang bertauliah di negeri berkenaan.

“Bagi saya pihak yang mendakwa perlu kemukakan bukti,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Abdul Muhaimin belum bersedia untuk mengulas mengenai dakwaan dirinya menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.

Terdahulu, Abdul Muhaimin yang merupakan Yang Dipertua Pas Tapah terpalit kontroversi apabila didakwa menipu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.

Susulan itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi dalam kenyataannya meminta siasatan dijalankan terhadap dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan tanpa kompromi.-UTUSAN