Chong Wei gesa atlet program RTG tidak lepaskan peluang

Sukan

PUTRAJAYA: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa agar semua atlet yang disenarai bagi menyertai program Road To Gold (RTG) tidak mensia-siakan peluang tersebut sebagai persiapan mereka ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Seramai 21 atlet disenaraikan dalam program tersebut termasuk pemain profesional badminton negara, Lee Zii Jia walaupun sebelum ini dia pernah memutuskan untuk tidak berada di RTG ketika Sukan Olimpik Paris 2024.

Mengulas lanjut, Chong Wei merupakan mentor kepada program RTG berharap agar semua atlet dapat menyertai program tersebut yang disifatkan serba lengkap bagi membantu mereka memburu tiket ke Olimpik 2028.

“Ketika saya bergelar atlet dan (kalau) dapat peluang seperti ini, saya rasa kami semua pasti gembira. Dapat bantuan daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Bukan dapat duit sahaja tapi servis dan sistem sokongan. Masa kami dahulu memang tiada peluang. Zaman saya kami memang gembira (jika RTG wujud) tetapi zaman sekarang fikiran atlet berbeza.

“Namun, sekali lagi kita masukkan nama Lee Zii Jia dan saya berharap dia akan fikir lagi dan ini satu bantuan kepada semua atlet. Tak kisah dia di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Program RTG LA28 oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Lobi Menara KBS, di sini hari ini.

Chong Wei memenangi tiga perak di Sukan Olimpik edisi 2008, 2012 dan 2016 menegaskan atlet yang menyertai Program RTG tidak akan disalahgunakan bagi mendapatkan penajaan.

“Mungkin orang cakap kita guna nama atau gambar atlet untuk pergi dapatkan tajaan. Tidak, RTG tidak akan ambil kesempatan dengan atlet. Kita lebih kepada servis yang diperlukan oleh atlet,” katanya.

RTG adalah sebuah program yang diwujudkan KBS bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028. – UTUSAN