Pasaran buruh dijangka kekal stabil sepanjang tahun ini

Perniagaan

PETALING JAYA: Pasaran buruh tempatan dijangka kekal stabil sepanjang tahun ini, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta langkah kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat, menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu menjangkakan, kenaikan gaji minimum dan pertambahan gaji penjawat awam akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi.

“Data terkini pada Februari 2025 juga menunjukkan keadaan pasaran buruh yang terus mengukuh, selari dengan momentum ekonomi yang berterusan.

“Bilangan penganggur menurun sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya dan turun 4.3 peratus berbanding tahun lalu, walaupun penurunannya agak perlahan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kadar pengangguran kekal pada 3.1 peratus sama seperti Januari 2025.

Kenanga Research berkata, kadar pengangguran dijangka kekal sekitar 3.1 peratus tahun ini, berbanding 3.3 peratus pada 2024, selaras dengan jangkaan permintaan domestik yang stabil.

“Pelaburan swasta juga dijangka kekal kukuh, disokong oleh dasar-dasar negara dan jumlah pelaburan yang diluluskan pada kadar tertinggi tahun lalu.

“Aktiviti pelancongan yang semakin pulih serta perbelanjaan Kerajaan Persekutuan yang tinggi di bawah Belanjawan 2025 turut dijangka merangsang ekonomi,” katanya.

Namun jelasnya, ketegangan perdagangan global masih menjadi risiko utama yang boleh menjejaskan pengambilan pekerja, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perlombongan berorientasikan eksport.

Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 4.8 peratus berbanding 5.1 peratus pada 2024, walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Sektor perkhidmatan pula terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam negara, dengan pengambilan pekerja yang stabil dan jualan runcit yang berkembang pada Februari lalu,” katanya. 

Firma penyelidikan itu turut memberi amaran, jika ancaman tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) oleh Donald Trump membawa kepada perang perdagangan besar-besaran, ia boleh menjejaskan sektor pembuatan yang bergantung kepada eksport, seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, data terkini menunjukkan pertumbuhan peluang pekerjaan masih berterusan merentasi pelbagai sektor.

“Namun, ketidaktentuan dasar global, khususnya dalam perdagangan, masih menjadi risiko yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Menurut HLIB, langkah kerajaan seperti bantuan tunai tambahan, pelaksanaan gaji minimum dan penyesuaian gaji penjawat awam akan membantu menyokong perbelanjaan isi rumah dan mengukuhkan aktiviti ekonomi tempatan.

Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) turut menjangka pasaran buruh kekal stabil pada 2025 walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan perdagangan dunia.

Firma itu mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 3.2 peratus untuk 2025 berbanding tahun lalu, 3.3 peratus.

Maybank IB menyatakan, pasaran buruh negara berada dalam keadaan hampir guna tenaga penuh, dengan sokongan daripada langkah Belanjawan 2025 seperti kenaikan gaji penjawat awam fasa pertama pada 1 Disember 2024, serta peningkatan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 bermula 1 Februari 2025.

“Dengan itu, kami menjangka perbelanjaan pengguna sebenar akan berkembang sebanyak 5.5% pada 2025, berbanding 5.2 peratus tahun ini,” katanya. 

Maybank IB menambah, asas ekonomi yang pelbagai serta dasar proaktif kerajaan telah mewujudkan pasaran pekerjaan yang kukuh.

“la sejajar dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-12 yang memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dan industri, dengan matlamat mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan mengatasi masalah gaji yang tidak setimpal.

“Kerajaan juga sedang memperkenalkan pembaharuan tenaga kerja ke arah lebih inklusif, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menggalakkan automasi,” katanya. – UTUSAN