Tuduhan tipu tauliah tidak berasas – Idris Ahmad

Politik

TAPAH: Dakwaan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abdul Muhaimin Malek yang didakwa menipu untuk mendapatkan tauliah mengajar agama disifatkan sebagai tidak berasas.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan bahawa Abdul Muhaimin telah menerima tauliah sah sejak 2014 daripada Jabatan Mufti Negeri Perak.

“Bukan mudah hendak dapat tauliah. Saya pun lalui proses itu, berhadapan dengan panel termasuk mufti. Jadi hendak tuduh orang tipu, kena faham maksudnya. Tipu bermakna langsung tiada tauliah, bukan macam ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PN di sini, semalam.

Idris yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning berkata, tiada syarat dalam Akta Pilihan Raya yang melarang pemegang tauliah bertanding.

Sebelum ini, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh calon PN pada PRK DUN Ayer Kuning.

Mereka mendakwa, Abdul Muhaimin yang juga pengetua maahad tahfiz swasta memperoleh tauliah mengajar agama daripada Jabatan Mufti Negeri Perak, meskipun memegang jawatan politik.

Mengulas dakwaan penggunaan gambar ahli Barisan Nasional (BN) dalam bahan kempen tanpa kebenaran, Idris menyatakan, ia tidak disengajakan dan pihaknya bersedia meminta maaf serta menurunkan bahan tersebut jika diminta.

“Itu semua tiada niat jahat, cuma gambar suasana mesra sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, polis telah merekod keterangan Abdul Muhaimin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dirinya menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.

Jurucakap polis, Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, rakaman percakapan Abdul Muhaimin, 44, dijalankan ketika beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, kelmarin.

Katanya, selain Abdul Muhaimin, polis turut mengambil keterangan daripada pengadu iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.

“Pengadu membuat laporan polis untuk rujuk kes berkenaan kepada MAIPk setelah mendapati berlaku pelanggaran pekeliling yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri oleh calon PN.

“Kita telah jalankan siasatan awal dan rakam percakapan. Setakat ini tiada kesalahan dalam tauliah (Abdul Muhaimin) sebagai penceramah. Dia telah kemukakan sijil-sijil, memang ada tauliah dan yang mengesahkan adalah MAIPk.

“Bagaimanapun, kita akan rujuk kes ini kepada MAIPk untuk siasatan lanjut. Di pihak polis, tiada siasatan dijalankan. Ini melibatkan tauliah dan sebagai calon, pencalonannya tidak tergugat kerana itu bukan syarat SPR,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tapah, semalam. – UTUSAN