Kilang pemasangan helikopter bernilai RM16 bilion di LTAM

Perniagaan

MELAKA: Sebuah kilang pemasangan dan hub penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) helikopter membabitkan nilai pelaburan RM16 bilion oleh Kerajaan Persekutuan akan dibina di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kilang tersebut bakal dikendalikan The Weststar Group (Weststar) dengan kerjasama syarikat pengeluar utama helikopter, Leonardo yang berpangkalan di Rom, Itali.

Beliau berkata, kawasan tapak kilang seluas 6.92 hektar telah dikenal pasti dan tempoh pembinaan dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun.

“Ini merupakan lawatan kerja pertama Weststar untuk melihat dan membuat kajian mengenai kawasan yang telah dikenal pasti. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaburan sebanyak RM16 bilion yang akan menggunakan sepenuhnya kemudahan di Melaka.

“Pembinaan kilang dan hub penyelenggaraan ini dijangka memajukan lagi bidang aeroangkasa di Melaka. Selain itu, ia juga memberikan satu lagi sokongan kepada industri sama di sekitar LTAM yang telah lama bertapak,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan tapak di LTAM, semalam.

Tambahnya, pembukaan kilang tersebut tidak akan menjejaskan operasi penerbangan komersial di LTAM. – UTUSAN