Pemuda UMNO Tapah nafi boikot Mohamad Yusri

Politik

TAPAH: Pemuda UMNO Bahagian Tapah menepis dakwaan wujud­nya unsur boikot terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketuanya, Fahmi Ahmad Jakhi­si berkata, pihaknya menerima sepenuhnya keputusan pucuk pimpinan parti yang memilih Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN pada PRK itu.

Kata beliau, Pemuda UMNO Bahagian Tapah akur dengan keputusan berkenaan dan menegaskan fokus kini adalah untuk membantu memastikan kemena­ngan calon BN.

“Saya reda, tiada isu boikot dan tidak akan sama sekali mengabaikan tanggungjawab untuk memenangkan calon BN. Jentera Pemuda UMNO Tapah juga telah memulakan kempen sejak selesai proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas dakwaan wujudnya boikot terhadap Dr. Mohamad Yusri susulan kekecewaan kerana calon dalam kala­ngan Pemuda UMNO tidak terpilih mewakili BN dalam PRK Ayer Kuning.

Fahmi sebelum ini dikatakan sebagai salah seorang daripada enam nama yang disenarai sebagai calon BN untuk PRK itu.

Sementara itu, beliau berkata, pelbagai program telah dirancang di 20 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Ayer Kuning, ter­utamanya program santai bagi menarik sokongan pengundi muda yang menjadi kelompok penting dalam PRK ini.-UTUSAN.