TAPAH: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berpuas hati dengan dengan gerak kerja dilakukan jentera parti itu dalam membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurut beliau, perjalanan kempen berjalan dengan lancar tanpa cabaran besar dihadapi pasukannya.
“Semua berjalan dengan baik, tiada cabaran besar kerana ahli Amanah telah dilatih untuk bekerja secara sukarela, jadi kita tidak perlu belanja yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada pilihan raya tersebut, Mohamad Yusri Bakir, 53, yang juga Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mohamad Yusri berdepan saingan Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada PN dan Bawani KS, 40, daripada PSM. – UTUSAN