Pas yakin pengundi ‘putih’ kekal sokong PN

Politik

TAPAH: Pengundi kategori putih bagi Perikatan Nasional (PN) kekal memberi sokongan kepada gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, berdasarkan gerak kerja semasa PN di lapangan bertemu dengan pengundi kategori itu, majoriti mereka berjanji akan mengekalkan sokongan.

“Kita dah jumpa semua pengundi putih (tegar) dan ada yang dah jumpa empat kali jadi sokongan tidak beralih (menyokong PN).

“Pengundi atas pagar (kategori kelabu) akan menjadi sasaran kita dengan strategi sendiri yang tidak boleh dimaklumkan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Harian PN sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian di Pusat Media PN N.48 di Bidor.

Idris yakin jentera parti dapat bertemu atau menghubungi sebahagian besar 31,897 pemilih menjelang hari pengundian pada 26 April ini.

Menurutnya, walaupun BN menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada PRK kali ini, PN akan memberikan saingan sengit dan tidak akan menyerah kalah dengan mudah.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abd.Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih. – UTUSAN