PRK Ayer Kuning: Mohamad puas hati gerak kerja jentera BN

Politik

TAPAH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan jentera parti dalam membantu kempen calon kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurutnya, kesungguhan jentera bertemu dan menyantuni pengundi sejak hari pertama kempen akan melahirkan keyakinan sekali gus membantu memenangkan Dr Mohamad Yusri Bakir pada 26 April ini.

“Saya gembira melihat jentera kita begitu bersemangat dan mempunyai gerak kerja yang baik serta tersusun. Saya telah diberi taklimat oleh petugas-petugas di bilik gerakan dan mahu gerak kerja ini dipertingkatkan lagi agar mereka dapat menyantuni lebih ramai pengundi.

“Kalau momentum ini dapat diteruskan sehingga hari pengundian, saya yakin dengan izin Allah, kita akan mencapai kemenangan pada 26 April ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Kasih bersama Mohamad Yusri di Kampung Batu Masjid, Temoh di sini hari ini.

Menurut beliau, pusingan pertama kempen berjalan lancar dengan jentera dan calon telah bertemu ramai pengundi dalam kategori putih iaitu mereka yang benar-benar bersama dan menyokong perjuangan parti.

Katanya, gerak kerja kempen yang diatur selepas ini adalah untuk menyantuni pengundi bagi kategori atas pagar terutama pengundi muda berusia 18 tahun yang mengundi kali pertama.

“Pengundi muda ini bukan orang parti dan tidak terlibat dengan mana-mana parti. Saya lebih suka berdialog berbanding ceramah untuk kita mengetahui apa isi hati dan pemikiran mereka supaya mudah kita menjelaskan sesuatu isu,” katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri yang juga Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN