Projek kawasan industri bernilai RM2.95b dibangunkan di Bukit Pelandok

Perniagaan

SEREMBAN: Sebuah projek kawasan perindustrian berteknologi tinggi dan bersepadu bernilai RM2.95 bilion bakal dibangunkan di Bukit Pelandok, Port Dickson menerusi usaha sama antara NS Corporation (NS Corp), Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) dan SD Guthrie Berhad (SD Guthrie)

Projek dinamakan Eco Business Park VII (EBP VII) itu akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 484 hektar menjadikannya antara inisiatif terbesar di bawah pelan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

EBP VII merangkumi pembangunan lot industri, kilang siap bina dan komponen komersial yang menyasarkan sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, logistik serta bioteknologi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi NS Corp berkata, projek itu menjadi pemangkin kepada pembangunan Parcel C di bawah MVV 2.0 yang bakal menjadi hab industri berteknologi tinggi dan pusat logistik dinamik di rantau ini.

Katanya lagi, pembangunan EBP VII selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta mampu meningkatkan daya saing ekonomi negeri.

“Kita mempunyai kelebihan daripada segi lokasi yang strategik terletak tidak jauh dari Lembah Klang dan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang.

“Parcel C atau dikenali sebagai Integrated Industrial Hub menumpukan kepada sektor perindustrian berteknologi tinggi, hab logistik dan pusat komersial yang berdaya maju dan kompetitif. Kawasan ini juga berpotensi menjadi sebagai pusat industri aeroangkasa yang dinamik dan bersepadu di Malaysia dan rantau Asia.

“Kawasan perindustrian baharu yang diberi nama EBP VII akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di Parcel C secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Pembangunan EBP VII Parcel C, MVV 2.0 di sini semalam.

Tambah Aminuddin, dengan gabungan kekuatan ketiga-tiga pihak, EBP VII bakal menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menarik pelaburan berkualiti serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan bernilai tinggi.-UTUSAN.