TAPAH: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya memastikan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dijalankan secara bersih dan beretika tanpa melibatkan fitnah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata, keutamaan BN adalah untuk memenangi hati pengundi berdasarkan kekuatan parti dan kewibawaan calon, bukannya melalui serangan peribadi dan dakwaan tidak benar.
“Saya sudah maklumkan kepada semua petugas pilihan raya BN yang kita mahu menang tanpa terlibat dengan sebarang fitnah.
“Kita tidak mahu mencipta perkara-perkara tidak benar yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan pengundi tempatan.
“Sebab itu saya pesan jangan provok, jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan. Dalam sebuah rumah ada penyokong BN, ada Perikatan Nasional (PN). Jadi jangan disebabkan provokasi melampau mengakibatkan rumah tangga dan masyarakat setempat porak peranda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Jelajah ‘AIM TVET’ bersama Cikgu Saarani di Kompleks Sukan Tapah, di sini hari ini.
Menurut Saarani, sebagai Menteri Besar Perak, beliau mahu mentadbir negeri ini dengan suasana aman damai tanpa mencampuri urusan parti lawan.
“Saya sudah beritahu, kalau PN nak buat (provokasi) itu urusan mereka tapi saya sebagai Menteri Besar, saya mahu mentadbir negeri ini dengan penuh rasa kasih sayang dan aman damai,” ujar beliau.
Dalam pada itu mengulas isu ladang babi yang didakwa beroperasi secara haram di Tanjung Keramat, beliau berkata, isu itu akan dijawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, minggu depan.
Katanya, perkara itu akan dimaklumkan pada sesi penggulungan Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.
“Isu ini akan dijawab oleh Sivanesan selaku exco yang bertanggungjawab berikutan ada beberapa penambahbaikkan dibuat oleh beliau.
“Kita tunggu penggulungan beliau nanti,” katanya. – UTUSAN