PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa Olahraga Malaysia (MA) menyelesaikan kemelut dalaman badan induk tersebut bersama beberapa atlet olahraga negara dengan segera.
Hannah berkata beliau tidak mahu isu yang melanda MA menjejaskan prestasi skuad olahraga negara yang kini dalam persiapan untuk beraksi di Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
“Kita dengar banyak versi, oleh sebab itu kita telah memberikan mereka satu lagi peluang untuk selesaikan secara dalaman apa perancangan MA terhadap atlet mereka.
“Saya tak nak mengambil masa yang lama, selesaikan secepat mungkin kerana saya tidak mahu (persiapan) atlet terjejas memandangkan Sukan SEA pada Disember ini dan mereka sepatutnya dalam latihan.
“Jadi, saya minta Ketua Pengarah MSN (Majlis Sukan Negara) (Jefri Ngadirin) untuk sampaikan kepada mereka agar selesaikan secepat mungkin. Saya tak nak lagi baca berita macam ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kem olahraga kembali panas apabila beberapa atlet pecut membuat keputusan memboikot sesi latihan mereka yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal MA, Robert Ballard sejak bulan lalu.
Atlet turut menerima ugutan akan dibuang daripada program jika mereka bersuara meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara pengurusan Ballard. – UTUSAN