Pemilihan PKR Pulau Pinang: Fadhlina, Mohamad tepati ramalan

Politik

NIBONG TEBAL : Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menepati ramalan apabila memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Nibong Tebal dalam pertandingan melibatkan tiga penjuru sempena pemilihan parti itu hari ini.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menang selepas meraih 677 undi diikuti oleh lawannya, Muttaqeen Mustafa dan Muhammad Navalan Abdullah, masing-masing dengan 336 dan 72 undi.

Selain Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, turut menepati ramalan ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Mohamad dipilih sebagai Ketua Cabang PKR Tasek Gelugor yang baharu selepas memperolehi 412 undi mengatasi lawannya yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal yang hanya meraih 319 undi dalam pertembungan ‘satu lawan satu’.

MOHAMAD ABDUL HAMID

Terdahulu, seramai 13,869 ahli PKR di negeri ini menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi bagi memilih jawatankuasa baharu di 12 daripada 13 cabang parti di sini.

Daripada jumlah itu, seramai 13,542 daripada mereka mengundi secara dalam talian manakala selebihnya iaitu seramai 327 ahli lagi mengundi secara fizikal.

Sebelum pengundian dijalankan, hanya Cabang PKR Batu Kawan sahaja tiada pertandingan apabila penyandangnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik serta pasukannya menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, kejutan turut berlaku pada sesi pemilihan PKR di Pulau Pinang kali ini apabila beberapa nama besar dilaporkan kecundang.

Exco kerajaan negeri merangkap ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Jelutong kepada penyandang jawatan tersebut iaitu Johari Kasim apabila hanya meraih 181 undi berbanding lawannya dengan 208 undi.

Turut menerima nasib yang sama ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang tewas kepada bekas ADUN Pulau Betong, Datuk Mohd. Tuah Ismail.

Muhammad Bakhtiar yang juga mantan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan memperoleh 727 undi manakala Mohd. Tuah pula mendapat 864 undi.-UTUSAN