MIC gerak jentera bantu pengundi ke pusat pengundian

Politik

TAPAH: MIC akan menggerakkan sepenuhnya jentera Jalinan Rakyat (JR) bagi mendekati kira-kira 3,000 pengundi putih dalam kalangan kaum India yang telah dikenal pasti termasuk membantu membawa mereka ke pusat pengundian pada 26 April ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tanggungjawab itu diserahkan kepada JR di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di mana mereka akan berusaha sehabis baik mengeluarkan seberapa ramai pengundi.

Katanya, pengurusan bersama kenderaan itu akan bermula seawal pukul 6 pagi hingga tamat waktu mengundi pada sebelah petang.

“Kita akan mengawal keadaan daripada pagi, jika sampai pukul 1 tengah hari mereka masih belum keluar (mengundi), jentera akan bergerak ke rumah untuk bawa mereka keluar.

“Semua PDM akan memainkan peranan aktif, tanggungjawab itu kita serahkan kepada JR yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya kepada ditemui pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, Barisan Nasional (BN) akan memperhebatkan gerak kerja kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang berbaki kurang seminggu lagi.

Katanya, jentera akan menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya untuk mendekati seberapa ramai pengundi termasuk menawan pengundi atas pagar

“Bagi pecutan untuk minggu terakhir ini, MIC akan bertemu pengundi dalam kumpulan kecil untuk menjelaskan beberapa isu yang timbul dan disensasikan oleh pihak tertentu.

“Kita akan bertemu mereka dan jelaskan apa yang terjadi. Kaedah kempen sebegini dilihat lebih berkesan dalam memberi pemahaman kepada mereka,” katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu ditentang calon PN, Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar dengan 56 peratus daripadanya pengundi Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain (lapan peratus). – UTUSAN