xco dan bekas wakil rakyat antara  tewas pemilihan Ketua Cabang PKR Pahang

Politik

KUANTAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pahang dan Pakatan Harapan (PH) negeri, Rizal Jamin gagal mempertahan jawatan Ketua Cabang PKR Lipis selepas tewas dalam pemilihan parti itu, semalam.

Antara pemimpin lain yang tewas dalam pemilihan tersebut ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim yang membuat penampilan pertama bertanding sebagai Ketua Cabang Bentong.

Exco kerajaan negeri, Sim Chon Siang juga mengalami nasib yang sama tewas merebut jawatan Ketua Cabang PKR Kuantan.

Dalam pemilihan itu, Rizal yang merupakan ADUN Lantikan meraih 421 undi berbanding pencabarnya, Mohd. Hasim Mansor yang memperoleh sebanyak 516 undi sekali gus memenangi Ketua Cabang PKR Lipis.

Sementara Suhaimi seorang aktivis belia terkenal sejak awal 1990-n dalam pemilihan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Cabang Bentong, hanya mampu memperoleh 239 undi berbanding pencabarnya, Jeffry Nizam mendapat 285 undi  untuk memenangi jawatan tersebut, manakala seorang lagi calon, Abdul Kadir Ali mendapat 238 undi.

Chon Siang yang juga ADUN Teruntum pula memperoleh 575 undi manakala lawannya, Fakhrul Anuar Zulkawi mendapat 659 undi.

Sementara itu, tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan kembali ‘bernafas’ dalam arena politik apabila disahkan memenangi Ketua Cabang PKR Jerantut dengan mendapat 471 undi. – UTUSAN