LENGGONG: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pelik dengan tindakan bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin yang menyertai parti Pas.
Ahmad Zahid melihat keputusan itu mungkin kerana Wan Norashikin mahu mengikut suaminya, Muhammad Noor Farid Zainal yang juga merupakan pemimpin Pas di kawasan Tapah.
Semalam, Wan Norashikin, 52, menyerahkan borang penyertaannya kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah semalam.
“Sebagai isteri kepada bekas calon Pas di Ayer Kuning, tentu dia lebih berminat mengikuti suaminya. Ini bukan soal ideologi atau soal pegangan politik, itu adalah pendirian peribadi beliau.
“Sewaktu penamaan calon saya bertemu dengan beliau. Tetapi seminggu kemudiannya, ikut suami. Mungkin itulah satu langkah yang terbaik untuk beliau masuk syurga,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas majlis Wacana Inspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong di sini hari ini.
Wan Norashikin yang merupakan bekas ADUN UMNO kawasan Kampong Gajah kematian suami Allahyarham Edi Razman Mohd. Ismail yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei 2021.
Mengenai momentum PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Zahid melihat semua pihak yang bertanding bersungguh-sunggh berkempen namun melahirkan rasa tidak gembira apabila masih ada yang menyentuh isu-isu peribadi.
Jelasnya setiap pihak sebaliknya perlu bercakap soal kelebihan calon masing-masing dan tidak menyentuh isu sensitif. – UTUSAN