IPOH: Segala urusan operasi dan pengurusan Perak FC adalah di bawah syarikat telekomunikasi XOX selaku pemilik pasukan, bukannya kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bagaimanapun berkata, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh pasukan tersebut terutama dari segi pembayaran gaji.
Katanya, kerajaan negeri akan cuba memperhalusi apakah pilihan yang ada untuk menyelesaikan perkara tersebut terutama isu kebajikan dan pembayaran gaji.
“Dimiliki oleh syarikat telko XOX dan bukanlah melibatkan tadbir urus oleh pihak kerajaan negeri atau persatuan bola sepak negeri.
“Kerajaan negeri memahami masalah yang dihadapi Perak FC yang melibatkan kebajikan pemain dan pegawai pasukan serta masalah dana bagi menampung pengurusan pasukan,” katanya semasa penggulungan portfolionya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pada minggu lalu, kemelut pasukan itu dibangkitkan dalam sidang DUN terutama berkaitan gaji pemain yang didakwa tertangguh selama lima bulan.
Malah menurut sumber dalaman kepada Utusan Malaysia, Perak FC berkemungkinan hanya menyertai Liga Super pada musim depan berikutan dipercayai menghadapi kesulitan kewangan.
Sementara itu, Khairudin mengucapkan tahniah kepada pasukan tersebut kerana berjaya menewaskan Sabah FC 1-0 dalam aksi terakhir Liga Super semalam serta menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh. – UTUSAN