Ketua Pemuda DAP pertahan isu karikatur badut

Politik

IPOH: Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong melabelkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Perak sebagai cepat koyak berhubung hantaran dalam media sosialnya didakwa karikatur wajah seorang pemimpin Pas berpakaian seperti badut.

Beliau dilihat mempertahankan tindakan itu semasa menggulungkan portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina negeri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Baginya, tindakan itu merupakan salah satu kaedah sindiran berdasarkan fakta yang menjadi salah satu aspek dalam demokrasi.

“Saya tahu ada yang koyak dengan gambar kenyataan media saya di mana saya katakan seseorang itu raja fitnah bau busuk tidak berbangkai.

“Dalam demokrasi, anda boleh sindir dan saya boleh menentangnya dan pada masa yang sama, saya boleh sindir dan anda boleh menentangnya. Ini hak masing-masing,” katanya.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria hari ini membuat tuntutan maaf kerana mendakwa menjadikan gambar wajahnya berpakaian seperti badut dalam media sosial.

Razman yang kini digantung daripada menghadiri sidang DUN berkata, menggunakan gambar wajahnya tanpa keizinan dan bersifat kandungan yang berbentuk provokasi merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau meminta Kah Leong supaya memohon maaf dan menurunkan kandungan tersebut dalam tempoh 24 jam.

Kah Leong pada masa sama berkata, apabila Menteri Pengangkutan yang juga daripada DAP, Anthony Loke turut dijadikan karikatur, ketuanya itu menerima keadaan tersebut.

“Saya nak tambah satu fakta di sini, apabila Menteri Pengangkutan diletakkan karikatur negatif, beliau dengan tenang katakan terima kasih sebab membantu mempromosikan beliau.

“Namun apabila benda ini berlaku pada pihak yang berbuat demikian pula, koyak dan marah-marah,” katanya. – UTUSAN