582 anggota polis, pasangan mengundi awal PRK Ayer Kuning esok

Politik

TAPAH: Seramai 582 pegawai dan anggota polis serta pasangan akan mengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, esok.

Proses pengundian akan berlangsung di dua pusat mengundi awal iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi APR Transit di Batalian 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Pusat mengundi di Kompleks Perumahan IPD Tapah dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari manakala di PGA Bidor pula dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di bandar Tapah pagi esok namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang.

Penolong Pegawai Pengurus (undi awal) PRK N48 DUN Ayer Kuning, Mohammad Shahir Mohammad berkata, berdasarkan daftar pemilih, seramai 555 anggota dan pasangan akan mengundi di PGA Bidor manakala baki 27 orang lagi melaksanakan tanggungjawab mereka di Kompleks Perumahan IPD Tapah.

Katanya, seramai 18 petugas termasuk tiga polis pengiring akan bertugas pada hari pengundian itu nanti membabitkan tiga saluran dan dua pusat mengundi.

“Hari ini telah diadakan semakan peti undi awal yang diawasi pihak polis dan pegawai, di mana prosesnya berjalan dengan lancar.

“Proses seterusnya adalah penyusunan kertas undi dan dakwat sebelum peti undi itu disimpan di lokap IPD Tapah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berdasarkan data SPR, seramai 82 pegawai dan anggota polis mengundi secara pos pada PRK DUN Ayer Kuning.

SPR menetapkan hari pengundian pada 26 April manakala undi awal 22 April susulan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN