Bursa Malaysia dalam fasa pembetulan teknikal

Perniagaan

PETALING JAYA: Bursa Malaysia menunjukkan peningkatan apabila mencecah paras 1,500 mata semalam, sebagai pembetulan teknikal setelah turun dengan mendadak seiring dengan pasaran ekuiti dunia utama yang lain, berikutan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengelirukan dunia.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi pada 1,500.37 di awal dagangan semalam, sebelum ditutup pada 1,499.47 berbanding 1,499.40 ketika penutup dagangan Jumaat.

Kali terakhir Bursa Malaysia ditutup di bawah 1,500 adalah pada Januari tahun lalu.

Jumlah dagangan sebanyak 1.53 bilion unit bernilai RM1.19 bilion.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 513 berbanding 308 dengan 463 kaunter tidak berubah dan 1,153 tidak diniagakan.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia telah menyebabkan ketidakstabilan dengan pasaran tiada arah tuju yang jelas selepas pengumuman tarif Trump dan beliau tiba-tiba pula menangguhkan pula untuk selama 90 hari lagi atas alasan perundingan dengan semua negara yang berkaitan termasuk Malaysia.

Katanya, prestasi bursa dalam jangka masa pendek ini dijangka masih mencari hala tuju terutama dari pergerakan bursa saham yang lain.

“Jualan dan belian bursa saham Kuala Lumpur dipelopori oleh pengurus dana tempatan berikutan terdapat saham-saham mewah yang berada pada harga yang murah dari purata kebiasaan, menjadi buruan para pengurus dana.

“Kebanyakan syarikat-syarikat Malaysia melaporkan prestasi kewangan yang baik untuk 2024 bagi tahun berakhir Disember, jelas ini menunjukkan kekukuhan korporat tempatan tahun lalu yang berada pada landasan yang baik dan kukuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, prestasi pasaran saham masih lagi dibelenggu sentimen yang negatif terhadap dasar ekonomi AS yang mana Presiden AS masih lagi tidak berganjak untuk menggunakan tarif import sebagai instrumen dasar yang utama bagi membugarkan ekonomi AS.

“Pada sesi awal dagangan pagi semalam, indeks FBMKLCI melebihi paras 1,500 mata iaitu 1,502.08 pada sesi pembukaan, bagaimanapun dagangan sebelah petang menyaksikan indeks FBMKLCI bergerak sekitar 1,496 mata.

“Justeru, jelas para pedagang dan pelabur masih lagi dalam mod berhati-hati buat masa ini,” katanya.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, kenaikan bursa disebabkan oleh sokongan belian kerana sebelum ini harga saham telah jatuh teruk.

“Namun kenaikan ini sukar dipertahankan kerana aktiviti pengambilan untung jangka pendek.

“Para pelabur takut untuk memegang lama saham kerana situasi pasaran yang kurang menentu. Di samping tiada petunjuk baharu yang signifikan,” katanya.