PRK Ayer Kuning: Dua pusat undi awal dibuka 8 pagi

Politik

TAPAH: Dua pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dibuka serentak pada pukul 8 pagi ini.

Dua pusat pengundian itu ialah Dewan Anggerik yang terletak dalam Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Proses pengundian awal yang melibatkan 582 anggota polis dan pasangan itu berlangsung sehingga pukul 12 tengah hari di Kompleks Perumahan IPD Tapah manakala pukul 5 petang di PGA Bidor.

Tinjauan di PGA Bidor mendapati anggota polis dan pasangan tiba awal di tempat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Cuaca di lokasi kini mendung namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di bandar Tapah dan ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada pilihan raya kali ini, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, daripada Barisan Nasional (BN) bersaing dengan Abdul Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional (PN) dan Timbalan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN