Pusat Perubatan Sunway Velocity tingkat kapasiti penuhi permintaan penjagaan kesihatan

Perniagaan

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) sedang menjalankan penambahbaikan dan menaik taraf secara berfasa bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, terutama dari populasi warga emas serta peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia.

Usaha itu selaras dengan komitmen SMCV untuk menyediakan servis penjagaan kesihatan yang mudah diakses dan berkualiti tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV, Susan Cheow berkata, selain meningkatkan kapasiti, SMCV turut ingin meningkatkan pengalaman pesakit sewaktu berada di hospital dengan mengintegrasi penjagaan perubatan terkini, aksesibiliti, dan bantuan secara holistik kepada komuniti sekeliling.

“Sejak penubuhan SMCV pada 2019, kami telah mencapai pelbagai kejayaan dan terus komited untuk menyediakan. pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif melalui penambahbaikan ini.

“SMCV kini dalam proses meningkatkan kapasiti wad perubatan pesakit kepada 247 katil dengan penambahan wad perubatan baharu yang akan terletak di Tingkat M di Menara B, betul-betul di atas jabatan A&E SMCV.

“Wad perubatan dengan 18 katil baharu ini menampilkan reka bentuk kontemporari dengan suasana yang menenangkan, memastikan pesakit selesa sepanjang tempoh pemulihan mereka.

“Dengan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital yang didorong oleh penyakit kronik dan keperluan penjagaan selepas kes-kes akut, kapasiti tambahan ini membolehkan SMCV memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pesakit sambil mengekalkan standard penjagaan klinikal yang tinggi,” katanya.

Di samping penambahan wad pesakit dalam, jabatan A&E SMCV juga sedang menjalani penaik tarafan untuk meningkatkan kualiti pengalaman pesakit dan penjagaan rawatan kritikal.

Sementara itu, Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di SMCV, Dr. Wee Tong Ming berkata, dengan menaik taraf jabatan kecemasan dan kemalangan SMCV, ia dapat meningkatkan keupayaan untuk memberi respon dan rawatan.

“Ini terutamanya terhadap penyakit akut seperti serangan strok, serangan jantung dan trauma dengan lebih cekap.

“Dengan mengurangkan masa menunggu pesakit dan memastikan pesakit mendapat akses segera kepada rawatan yang dapat menyelamatkan nyawa, kami dapat memperkukuh laqi hasil rawatan kecemasan dan meningkatkan hasil rawatan pesakit,” ujarnya.

Selain penambahan wad perubatan dan menaik taraf jabatan kecemasan dan kemalangan, SMCV juga telah menandakan peristiwa penting pada Februari 2024 dengan pembukaan lobi menara hospital baharu (Menara A) dan jabatan pesakit luarnya.

Memandang ke hadapan, visi SMCV adalah untuk menjadikan Menara A sebagai sebuah fasiliti kesihatan 22 tingkat yang komprehensif.

Sepuluh tingkat di bawah akan dikhaskan untuk penambahan kemudahan untuk perkhidmatan klinikal, termasuk klinik pakar tambahan, wad pesakit dengan gabungan kapasiti lebih daripada 300 katil, dewan bedah dan kemudahan rawatan rapi.

Sementara itu, dua belas tingkat di atas akan menyediakan gabungan perkhidmatan bukan klinikal termasuk pusat kesihatan, perkhidmatan gaya hidup dan penjagaan selepas kemasukan hospital untuk menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan secara holistik. – UTUSAN