PUTRAJAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memutuskan mana-mana anggota parti yang menjadi calon pemilihan Keadilan 2025 dan kemudiannya didapati menjadi ahli parti lain akan digugurkan keanggotaan mereka.
Keputusan dasar itu dibuat menerusi mesyuarat MPP yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi di Seri Perdana, di sini.
Setiausaha Agung Keadilan, Fuziah Salleh berkata, anggota yang terlibat juga akan hilang kelayakan untuk menjadi calon dan terbatal
pencalonan mereka.
“Pengumuman berkaitan nama-nama spesifik akan di buat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP),” katanya dalam kenyataan malam ini.
MPP turut mengesahkan berkaitan Kongres Nasional 2025 yang akan berlangsung
di Johor Bharu pada 23, 24 dan 25 Mei depan dimulakan dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Nasional.
Kata Fuziah, MPP juga telah memutuskan bahawa sebilangan perwakilan yang wajib hadir fizikal dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang-Cabang di Sabah dan Sarawak boleh hadir sebagai perwakilan serta mengundi di
pusat undian satelit di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Ini bagi memberi kemudahan kepada perwakilan di Sabah dan Sarawak yang perlu mengundi fizikal untuk mengundi serta mengikuti perjalanan Kongres Nasional 2025 melalui jarak jauh di Pusat Satelit.
“Senarai Perwakilan dari kalangan AJK Cabang dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di Kongres Nasional akan diumum
kemudian,” katanya.
Kongres Nasional 2025 mengunjurkan sekitar 10,000 perwakilan yang akan hadir
dan mengundi secara fizikal, manakala lebih 20,000 perwakilan akan mengundi di atas talian.
Kongres Nasional 2025 akan buat pertama kalinya mengguna pakai konsep ‘proportionate representation’ untuk perwakilan seperti yang
telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember 2024. – UTUSAN